Sunday, December 27, 2009
Mandi di permandian umum.
Copy paste from : http://www.al-fikrah.net/Forums/viewtopic/t=9427/postdays=0/postorder=asc/highlight=mandi/start=0.html
Soal Jawab Agama
Soalan 1 (soalan pilihan):
Apakah hukum mandi tanpa mengenakan sebarang pakaian? Nurul, Batu Pahat, Johor.
Jawapan:
Ini adalah soalan penting yang memerlukan penjelasan panjang lebar kerana tidak ramai di kalangan umat Islam yang mengetahuinya. Penjelasan bergantung kepada jenis tempat mandi di mana ia terbahagi kepada dua:
Pertama: Tempat mandi peribadi di mana ia tertutup dan hanya seorang yang mandi di dalamnya. Seafdalnya ialah mandi dengan berpakaian yang menutup aurat kerana sifat malu kepada Allah s.w.t.. Seseorang pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. berkenaan hukum mendedahkan aurat dalam suasana tidak ada orang lain yang hadir sama untuk melihat. Baginda menjawab: “Sesungguhnya Allah lebih berhak untuk seseorang itu merasa malu (untuk mendedahkan auratnya) berbanding manusia”. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4016]
Jika menghadapi kesukaran untuk mandi dengan berpakaian yang menutup aurat, maka pastikan sebelum memasuki tempat mandi dibaca “Dengan nama Allah” kerana Rasulullah s.a.w. menjamin: “Penghalang antara pandangan jin dan aurat Bani Adam (manusia) ialah apabila salah seorang daripada mereka (manusia) memasuki tandas dengan membaca ‘Dengan nama Allah’.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 606]
Kedua: Tempat mandi umum seperti sauna, jakuzi, spa, kolam renang, di tebing sungai dan di tepi pantai di mana orang ramai dapat mandi bersama-sama. Demikian juga bilik mandi (shower room) di asrama beberapa universiti negara Barat. Sekalipun ia dikhususkan mengikut jantina, namun ia terbuka tanpa dinding pemisah sehingga setiap pengguna dapat melihat antara satu sama lain.
Terhadap tempat mandi umum seperti di atas, Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan: “Jauhilah tempat yang disebut sebagai al-Hammam (pemandian umum).” Orang bertanya: “Wahai Rasulullah! Di tempat pemandian itu kotoran dapat dihilangkan dan penyakit dapat disembuhkan.” Rasulullah menjawab: “Sesiapa yang memasuki tempat pemandian umum maka hendaklah menutup aurat.” [al-Mu’jam al-Kabir, no: 10932 dengan sanad yang hasan]. Syarat menutup aurat hendaklah diperhatikan sekalipun terhadap sesama jantina kerana: “Tidak boleh seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain dan tidak boleh seorang wanita melihat aurat wanita yang lain.” [Shahih Muslim, no: 338]
Namun yang menjadi pertimbangan di tempat mandi umum adalah, pakaian yang basah akan melekat ke badan sehingga menampakkan bentuk badan. Telah dijelaskan sebelum ini dalam ruangan Cahaya Rohani edisi Disember 2008 yang berjudul Fesyen Seorang Muslimah bahawa termasuk syarat menutup aurat ialah pakaian yang tidak menampakkan bentuk badan.
Pakaian basah yang menampakkan bentuk badan lebih memberahikan bagi sebahagian orang dan kelihatannya Rasulullah s.a.w. lebih prihatin kepada masalah ini di kalangan umat wanitanya. Oleh kerana itu terdapat tegahan yang lebih khusus kepada para muslimat sebagaimana hadis berikut: “Tempat mandi umum haram atas wanita-wanita dari kalangan umatku”. [Shahih al-Jami’ al-Shagheir, no: 3192] Baginda tidak membezakan sama ada tempat mandi umum itu dihadiri oleh para wanita berbilang agama atau muslimat sahaja.
Persoalan ini telah dikupas oleh para ahli hukum di kalangan empat mazhab dan mereka menyatakan larangan kepada para muslimat untuk memasuki tempat mandi umum. Di kalangan ahli hukum itu ada yang memberikan kelonggaran bahawa boleh memasuki tempat mandi umum jika setiap yang hadir menundukkan pandangan daripada memandang aurat sesama mereka. Akan tetapi syarat ini memang sukar dilaksanakan. Bahkan beberapa ahli hukum masa kini menambah, dengan berleluasanya masalah lesbian di kalangan wanita dan wujudnya orang-orang yang mengambil gambar secara tersembunyi di tempat pemandian wanita untuk dipaparkan di internet, maka tegahan di atas wajar dipatuhi sepenuhnya.
Setelah mengkaji dalil-dalil serta pandangan ahli hukum dahulu dan kini, Syaikh Yusuf al-Qaradhawi memberi kesimpulan dalam bukunya Fiqh Thaharah, m.s. 321: “Oleh sebab itulah kami melihat bahawa pandangan yang tepat untuk dijadikan ikutan ialah memasuki tempat mandi umum dibolehkan bagi lelaki dan perempuan hanya jika mereka berada dalam keadaan yang sangat memerlukannya.”
Justeru yang baik lagi selamat ialah hendaknya setiap muslimat menjauhi tempat mandi umum sekali pun ia sudah menjadi satu kebiasaan kebanyakan umat Islam sejak sekian lama. Jangan memasuki tempat mandi umum melainkan terdesak seperti ketiadaan tempat mandi peribadi atau perlu segera mandi hadas besar setelah berhenti daripada haid. Jika dalam keadaan terdesak seperti ini, maka hendaklah diperhatikan semua syarat-syarat penutupan aurat sebelum memasukinya.
*****************
Something which I just know, and I have to change what I believed before.
Wassalam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment