Permudahkanlah dan Gembirakanlah
Hafiz Firdaus Abdullah (www.hafizfirdaus.com)
Penulisan ini ingin saya mulakan dengan dua buah kisah benar, yang pertama berlaku beberapa hari yang lalu manakala yang kedua berlaku beberapa tahun yang lepas.
Kisah Seorang Pembantu Juruterbang.
“Capt., is it hard to convert to Islam?” tiba-tiba tanya pembantu juruterbang (co-pilot) saya, memecah keheningan penerbangan di malam hari. Capt adalah gelaran singkat untuk kapten.
“Why do you ask?” saya membalas kepada beliau yang berbangsa Cina, beragama Kristian.
“Well, I’m quite interested in Islam… but the experiences that I hear and the news that I read every now and then about problems faced by those who wanted to convert or had converted makes me reserve my intention.”
“Aha! Then you must differentiate between Islam and those who sit in the office by the name of Islam. If you want to convert by Islam, it’s easy. It’s the administrative part that makes it tough and causes all those problems.”
“How easy is easy?”
“Well, if you believe Allah is the one and only god and that Muhammad is His final messenger, than you have converted to Islam… you are muslim. After that, progressively, try your best to learn and practice Islam.”
“That easy? Then why all those problems, procedures and paper work?”
“Well…I’m still trying to find the answers to that.”
Penerbangan kami ke Hong Kong malam itu seterusnya dipenuhi dengan perbincangan – atau lebih tepat – sembang-sembang tentang Islam. Pelbagai topik disentuh oleh pembantu juruterbang saya itu, dari jin kepada pontianak, dari perbezaan antara Islam dan Kristian, dari sihir kepada kerasukan, dari sembahyang kepada puasa, dari poligami kepada talak, rujuk dan nafkah. Memang berbeza antara muslim dan orang yang mengkaji tentang Islam. Yang pertama tidak tahu manakala yang kedua mengetahui, yang pertama kosong manakala yang kedua penuh. Alangkah baiknya jika kedua-duanya dapat disatukan, iaitu muslim yang mengkaji tentang Islam.
Penerbangan diakhiri dengan saya tidak menekannya memasuki Islam serta merta, sebaliknya saya memberinya nombor talifon beberapa ustaz berbangsa Cina yang lebih berpengalaman mengurusi orang yang berminat tentang Islam.
Kisah Seorang Jurutera Penerbangan.
Sebelum ini saya biasa mendengar masalah yang dihadapi oleh mereka yang ingin memeluk Islam atau yang sudah memeluk Islam. Akan tetapi jauh berbeza apabila masalah itu saya dengar terus daripada orang yang berminat tentang Islam. Kalau nak diikutkan, memang saya marah kepada pelbagai prosedur dan syarat yang dikenakan oleh pihak-pihak berwajib mahupun selainnya.
Walaubagaimana pun saya cuba menahan kemarahan tersebut kerana teringat kepada satu pengalaman yang diceritakan oleh seorang rakan saya yang pernah bertugas sebagai jurutera penerbangan (flight engineer).
Sebelum menerangkan pengalaman rakan saya itu, izinkan saya cerita sikit tentang “pasukan” juruterbang yang bertugas dalam satu-satu penerbangan. Ketika manusia berjaya mencipta besi yang mampu terbang di atas udara seperti burung, pasukan juruterbang terdiri dari empat orang. Pertama ialah captain, kedua ialah co-pilot, ketiga ialah flight engineer dan keempat ialah navigator. Apabila teknologi semakin maju, orang keempat tidak lagi diperlukan. Mulai awal tahun 90an, orang ketiga juga tidak lagi diperlukan. Sejak itu hingga kini, pasukan juruterbang hanya terdiri dari dua orang, iaitu captain dan co-pilot.
Sebagai sebuah syarikat penerbangan yang menjaga hal ehwal kakitangannya (Ewwah…puji sikit…), Penerbangan Malaysia (MAS) tidak membuang jurutera-jurutera penerbangan yang mereka ada saat itu. Sebaliknya pilihan diberi sama ada mereka ingin berhenti atau bertukar jurusan dari jurutera penerbangan menjadi juruterbang. Agak ramai yang mengambil pilihan kedua.
Pada satu hari saya bersembang-sembang dengan salah seorang jurutera penerbangan yang telah pun menjadi co-pilot. Beliau yang umurnya sudah melangkaui angka empat puluh bercerita:
“Kau tahu tak Hafiz, sebelum ini belasan tahun aku duduk di dalam kokpit sebagai flight engineer. Kerusi aku tak lebih tiga kaki jaraknya dari kerusi captain dan co-pilot. Ketika take off dan landing, aku berada sekadar sekaki dari mereka. Bila aku tengok mereka berdua tu, rasa macam senang sangat kerja. Duduk termenung aje. Aku inilah yang kat belakang kena monitor macam-macam sistem pesawat…electric, hydraulic, pneumatic, pressurization dan macam-macam lagi.
Sekarang aku dah jadi pilot, co-pilot. Hmm...! Baru aku tahu kerja pilot ini susah sebenarnya. Macam-macam otak aku ini kena kira, nilai dan fikir. Belasan tahun aku duduk di belakang pilot, dah duduk di kerusi pilot baru aku tahu kerja ini susah juga.”
Pengajarannya? Kita tidak akan mengetahui setepatnya apakah yang sebenarnya dialami dan difikirkan oleh orang lain sekali pun kita berada bersebelahan dengan mereka. Sekadar nak cakap, mengulas dan mengkritik, itu memang mudah, teramat mudah. Any Tom, Dick and Harry can do it. Akan tetapi apabila kita berada di mana mereka berada, barulah kita sedar apa yang dicakap, diulas dan dikritik sebelum ini belum tentu benar.Kadangkala betul-betul berlawanan..
Atas dasar inilah saya menahan diri dari mengkritik secara negatif pihak-pihak berwajib dan selainnya yang mengurusi hal ehwal pemeluk Islam. Saya sebagai orang luar memang sukar untuk memahami apa yang mereka fikir, apa yang mereka nilai dan kenapa mereka bertindak sedemikian. Tindakan yang tepat ialah berbincang dan mencari ruang bekerja sama. Atau setidak-tidaknya, mereka berusaha apa yang mereka rasakan mampu dan baik manakala saya berusaha apa yang saya rasakan mampu dan baik. Jika asyik mengkritik, kedua-dua pihak tidak akan ke mana-mana.
Permudahkanlah dan Jangan Menyusahkan, Gembirakanlah dan Jangan Menakutkan.
Demikian maksud sebuah hadis yang diriwayat oleh al-Imam al-Bukhari (no. 69). Tiada siapa yang lebih patut kita permudahkan dan gembirakan melainkan kepada orang yang mahu berjinak-jinak dengan Islam. Kemudahan dan kegembiraan apa yang patut kita lakukan? Saya ada beberapa cadangan yang ingin dikongsikan. Setuju atau tidak, kita bincang dengan harmonis dan semangat Islami.
- Permudahkan Ucapan Dua Kalimah Syahadah.
Pertama yang saya cadangkan ialah dua kalimah syahadah diucapkan dalam bahasa ibunda orang yang ingin memeluk Islam. Keyakinan dan kesaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad ialah pesurah Allah tidak semestinya diucapkan dalam bahasa arab, tetapi boleh saja dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil dan sebagainya. Asalkan saksi juga memahami bahasa tersebut dan dapat mengesahkannya.
Cadangan ini saya kemukakan kerana teringatkan seorang pramugari berbangsa Jepun yang saya temui beberapa tahun yang lalu. Beliau amat meminati Islam dan telah pun mengikuti kelas-kelas tentang Islam yang berbahasa Inggeris di Kuala Lumpur. Apabila saya bertanya kepadanya: “So when are you going to embrace Islam?” Dia menjawab: “I’m ready now, but I’m still facing difficulty saying the two testimony of faith in Arabic. My ustaz says my tongue is still very keras”.
Ketika melawat salah sebuah NGO yang mengurusi hal-ehwal orang yang ingin memeluk Islam, saya bertanya sama ada bolehkah diminimumkan paper work “pendaftaran Islam” atau setidak-tidaknya ia dikemudiankan apabila orang itu memiliki kelapangan? Dia menjawab tidak boleh dengan alasan utama: “Jika dia mati sebelum pendaftarannya lengkap, kita tidak akan memiliki bukti yang cukup untuk menyelenggarakan jenazahnya mengikut prosedur Islam.” Saya mengangguk lesu kerana hati saya membantah dengan persoalan: “Manakah lebih penting, orang hidup masuk Islam atau orang mati masuk kubur secara Islam?”
- Gembirakanlah Dengan Pengekalan Nama Asal.
Bin Abdullah. Isu ini ketika dibangkitkan oleh Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin telah menimbulkan pelbagai reaksi. Orang yang lazim menaiki kapal selam akan membantah, orang yang lazim menaiki helikopter akan menyokong. Syarat mewajibkan penukaran nama ayah kepada “Bin Abdullah” dan “Binti Abdullah” bagi orang yang ingin memeluk Islam begitu masyhur sehingga tidak sedikit yang mengganggap saya juga seorang saudara baru semata-mata kerana nama saya yang berbinkan Abdullah. Agaknya apabila mereka melihat raut wajah saya, sudah tentu mereka tertanya-tanya pula: “Mamat ini dulu agama apa agaknya?”
Syarat “bin Abdullah” dan “binti Abdullah” sekali lagi adalah sesuatu yang dibuat-buat oleh entah siapa. Ia menyusahkan orang yang ingin memeluk Islam kerana tujuan mereka hanyalah mengubah agama dan bukan mengubah ayah dan keluarga. Ia menakutkan ibubapa yang anaknya ingin memeluk Islam kerana memberi isyarat menukar agama bererti memutuskan hubungan anak dan bapa. Yang benar orang yang ingin memeluk agama Islam tidak perlu menukar namanya mahupun nama ayahnya. Penukaran hanya perlu jika namanya memiliki unsur syirik seperti nama berhala agama yang lepas. Nama ayah tetap tidak ditukar sekalipun memiliki unsur syirik.
- Gembirakanlah Dengan Gelaran Yang Mesra.
Menyentuh tentang nama, saya meminta agar diletakkan batasan tempoh masa sehingga bila kita akan memanggil orang yang memeluk Islam sebagai “saudara baru” atau mualaf. Kadangkala gelaran ini masih disandarkan kepada seseorang yang sudah lebih sepuluh tahun memeluk Islam. Lebih memalukan, kerap kali “saudara baru” itu lebih memahami Islam, lebih mempraktikkan Islam dan lebih memperjuangkan Islam berbanding orang yang terislam sejak kelahiran.
Sukakah anda dengan gelaran “Saudara terislam”? Sudah tentu tidak. Maka demikianlah juga dengan mereka yang anda gelar “Saudara baru”.
Saya cadangkan gelaran “saudara baru” hanya diberi kepada orang yang minat tentang Islam sekalipun dia belum memeluk Islam. Persaudaraan yang dimaksudkan adalah hubungan persahabatan, pertolongan dan pemahaman. Mudah-mudahan dengan gelaran ini mereka merasa lebih mesra dan diterima, sehingga menjadi salah satu faktor pendorong kepada memeluk Islam. Sebaik saja mereka mengucapkan dua kalimah syahadah dalam bahasa ibundanya, mereka adalah seorang muslim yang bersaudara dengan kita berdasarkan hubungan keimanan. Mereka tidak lagi digelar “saudara baru” tetapi “saudara seagama”. Walaubagaimanapun kelayakannya menerima zakat berterusan sehinggalah dia memiliki suasana kewangan yang selesa.
Selain itu saya mencadangkan agar tidak lagi mengistilahkan orang bukan Islam sebagai orang kafir. Sebaliknya istilahkanlah mereka sebagai “Orang belum Islam.” al-Qur’an sendiri apabila menyeru orang bukan Islam mengistilahkan mereka sebagai “Wahai manusia!” (Ya iyyuhan nas). Istilah kafir hanya diberikan kepada orang yang sudah sampai risalah Islam yang indah, merasakan keindahan tersebut namun tetap mengingkarinya.
- Gembirakanlah Dengan Pengekalan Bangsa.
Cadangan kelima, yang dituntut ialah menjemput orang memasuki agama Islam, bukan memasuki bangsa Melayu. Bezakan antara agama dan bangsa. Tukar agama tidak bermaksud tukar bangsa. Justeru, sebagai contoh, janganlah dipaksa orang cina yang memeluk Islam memakai baju kurung, belajar silat dan makan dengan tangan. Biarkan mereka dengan fesyen tersendiri asalkan menutup aurat, bermain kungfu asalkan bersedia membela Islam dan makan dengan sepasang chopstick asalkan menggunakan tangan kanan.
- Permudahkanlah Dengan Islam Yang Bertahap-Tahap.
Bercakap tentang paksaan, jangan memaksa orang yang baru memeluk Islam menjadi seorang muslim yang sempurna sekelip mata. Jangan memaksa mereka serta merta bersolat lima kali sehari dan berpuasa penuh sebulan Ramadhan. Bukankah kita dulu dilatih oleh ibubapa dan guru-guru untuk solat dan puasa secara bertahap-tahap?
Oleh itu berilah kelapangan bagi mereka untuk belajar tentang Islam dan mempraktikkannya secara bertahap-tahap. Mulakan dengan tauhid, diikuti dengan fekah. Mulakan dengan yang wajib, diikuti dengan yang sunat. Jangan mewajibkan sunat, padahal bersunat itu hukumnya hanya sunat.
Cadangan seterusnya berupa ketujuh, kelapan dan kesembilan memerlukan revolusi minda dan rembatan paradigma. Ia memerlukan penjelasan yang lebih terperinci dari sudut dalil dan hujah, serta keterangan fiqh yang mendalam. Akan tetapi tujuan saya dalam penulisan ini bukanlah menyusahkan atau menakutkan, sebaliknya memudahkan dan menggembirakan. Justeru saya hanya akan sentuh secara ringkas manakala selanjutnya diserahkan kepada kajian para pembaca.
- Gembirakanlah Dengan Kehidupan Bersama Ahli Keluarga.
Cadangan ketujuh, orang yang memeluk Islam tidak perlu dipisahkan dari ahli keluarganya. Seorang anak yang memeluk Islam boleh duduk serumah dengan ahli keluarganya yang belum Islam. Seorang suami atau isteri yang memeluk Islam boleh terus mengekalkan hubungan pernikahan dengan pasangannya yang belum Islam. Semua ini dengan syarat ahli keluarga atau pasangannya tidak memusuhi agama Islam yang dipeluknya. Demikian merupakan fatwa Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan anak muridnya al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (Ahkam Ahl al-Zimmah) dan diperluaskan oleh Syaikh Yusuf al-Qaradhawi (Fatwa al-Mu‘ashirah, jld. 3).
Jika salah seorang dari pasangan suami isteri memasuki Islam dan ingin menceraikan pasangannya yang belum Islam, penceraian hendaklah dilakukan mengikut prosedur agama sebelumnya. Ini kerana pembubaran satu perjanjian, dalam kes ini perjanjian perkahwinan, hendaklah dilandaskan kepada prosedur yang sama ketika perjanjian itu dibuat pada mulanya. Jika tidak, ia adalah penipuan dan kezaliman yang sangat ditentang oleh Islam.
- Permudahkanlah Urusan Jenazah.
Cadangan Kelapan, orang memeluk Islam yang meninggal dunia, maka pengurusan jenazahnya memiliki dua pilihan:
- Pertama, jika memungkinkan bagi umat Islam dilokasi itu menguruskan jezanahnya mengikut cara Islam tanpa menimbulkan sebarang mudarat, maka ia adalah pilihan yang baik lagi patut diusahakan.
- Kedua, jika tidak mungkin dilakukan sedemikian, seperti ahli keluarga yang tidak tahu yang meninggal dunia itu sudah memeluk Islam atau umat Islam dilokasi itu tidak memiliki bukti kukuh orang yang meninggal dunia itu sudah memeluk Islam, maka jenazah itu dibiarkan kepada ahli keluarga untuk menguruskannya mengikut cara agama mereka. Tidak digalakkan merebut mayat kerana ia hanya menimbulkan mudarat bagi Islam, umat Islam dan keluarga jenazah.
Cadangan ini tidak memerlukan ijtihad yang baru atau fatwa dari para mufti kerana sudah memiliki dalil dari sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang tidak merebut jenazah Najasyi yang meninggal dunia di Habasyah, sebaliknya membiarkan jenazah beliau diuruskan mengikut cara Kristian dan dikebumikan di perkuburan Kristian. Baginda dan umat Islam hanya melaksanakan solat jenazah ghaib untuk Najasyi dari Madinah. [Rujuk risalah saya Cadangan Terhadap Prosedur Merebut Mayat Bagi Orang Yang Diperselisihkan Keislamannya dalam Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 6) terbitan Jahabersa, Johor Bahru]
- Gembirakanlah Berkenaan Harta Warisan.
Cadangan terakhir pada kesempatan ini ialah berkenaan harta warisan. Dalam bab ini terdapat beberapa hadis sahih yang melarang pewarisan harta antara dua orang yang berbeza agama. Majoriti ahli fiqh berpegang kepada zahir hadis tersebut kecuali Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan dan anak muridnya al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (Ahkam Ahl al-Zimmah). Ini seterusnya diikuti oleh Syaikh Yusuf al-Qaradhawi (Fatwa al-Mu‘ashirah, jld. 3). Mereka membezakan sama ada orang bukan Islam itu memusuhi Islam atau tidak. Jika memusuhi, orang Islam tidak boleh menerima harta warisan mereka. Jika berdamai, orang Islam boleh menerima harta warisan mereka.
Akan tetapi Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah tidak membenarkan orang belum Islam menerima harta warisan daripada orang Islam. Syaikh Yusuf al-Qaradhawi seolah-olah membolehkannya. Persoalannya, apakah adil di sisi Islam jika seorang ayah yang muslim meninggal dunia, ahli keluarganya yang belum Islam dibiarkan kebuluran tanpa apa-apa harta warisan? Apakah adil di sisi Islam jika seorang anak yang muslim meninggal dunia, ibubapanya yang belum Islam yang telah mengasuhnya sejak kecil, dibiarkan begitu saja?
Persoalan ini memerlukan ijtihad dari para ahli agama yang berkemampuan. Titik ijtihad berpaksi pada faktor musuh atau damai. Ini kerana jika faktor musuh atau damai digunakan sebagai penentu membolehkan orang Islam menerima harta warisan dari orang belum Islam, maka faktor yang sama boleh juga digunakan sebagai penentu bagi membolehkan orang belum Islam menerima harta warisan orang Islam. Memberi harta warisan kepada orang belum Islam tidaklah bererti merendahkan Islam atau meninggikan agama lain kerana tangan yang memberi adalah lebih baik dari tangan yang menerima.
Islam Pesat Berkembang Di Seluruh Dunia Kecuali Malaysia?
Sudah menjadi pengetahuan umum oleh mereka yang ingin mengetahui bahawa Islam adalah agama yang paling pesat berkembang sekarang ini, khasnya di Amerika Utara, Eropah dan Australia. Antara faktor penyubur ialah kemudahan yang menggembirakan orang yang ingin memeluk Islam.
Ada pun Malaysia, kesukaran yang memuramkan orang yang ingin memeluk Islam menjadi faktor pemandul. Akan tetapi harapan tetap ada agar bertahap-tahap, kesukaran menjadi kemudahan, kemuraman menjadi kegembiraan.
Saya tidak berputus asa. Apatah lagi mengingatkan rakan saya yang awalnya seorang jurutera penerbangan kini sudah pun menjadi seorang Captain. Ada pun rakan saya yang bertugas sebagai pembantu juruterbang, ketahuilah Islam memang mudah, tetap mudah.